KUALA LUMPUR (2007) – Masyarakat negara ini khususnya umat Islam, digesa supaya tidak cepat melatah dan hilang pertimbangan, akibat desakan pihak-pihak tidak bertanggungjawab ketika ini.

Penasihat Agama Pejabat Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Dr. Abdul Hamid Othman berkata, golongan tidak bertanggungjawab kini hanya menunggu masa untuk mengambil kesempatan sekiranya umat Islam negara ini melakukan kesilapan dan melatah akibat provokasi mereka ketika ini

“Jangan mudah hilang pertimbangan dan ambil tindakan sendiri.”

“Negara ini ada undang-undang yang memastikan peraturan dipatuhi,” kata beliau kepada pemberita pada majlis perasmian Muktamar Amal Majlis Islami 2007, anjuran Majlis Amal Islami Malaysia, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), di sini pada 12 Disember 2007.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Yang Dipertua YADIM, Datuk Haji Mohd. Nakhaie Haji Ahmad dan wakil-wakil badan bukan kerajaan (NGO) dari seluruh negara.

Muktamar berkenaan mendapat sambutan yang cukup menggalakkan apabila lebih 500 tetamu dan wakil menyertainya, melebihi sasaran awal seramai 300 orang.

Dalam pada masa yang sama, Dr Abdul Hamid menasihatkan umat Islam supaya menggunakan cara yang lebih berhemah dan bijak untuk menangani provokasi golongan berkenaan, serta tidak memilih untuk menjadi pelampau seperti mereka.

Jelas beliau, sikap golongan pelampau yang mengambil tindakan sendiri juga bertentangan dengan ajaran Islam yang menggalakkan penganutnya supaya mengamalkan Musyawarah.

Beliau menambah, selain memudaratkan keadaan sosial, ekonomi negara juga akan terjejas akibat tindakan sesetengah golongan pelampau ini.

“Pelancong akan mula menjauhi negara ini, pelabur juga akan khuatir untuk melabur dan mengembangkan perniagaan di sini.

“Jadi akhirnya, pendapatan rakyat juga yang akan terjejas,” jelas beliau.