KUALA LUMPUR (2008)– Masyarakat digesa melaksanakan sendiri perubahan yang ingin dicapai berdasarkan keupayaan diri sendiri kerana ia lebih baik berbanding dilaksanakan oleh orang lain.

“Perubahan yang berlaku terhadap masyarakat adalah apa yang diingini secara kolektif. Tiada orang yang lebih fahami apa yang kita ingini melainkan diri kita sendiri,” tegas Pengerusi MAIM Datuk Haji Mohd Nakhaie Ahmad.

Menurut beliau, lahirnya institusi-institusi seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Dewan Bahasa dan Pustaka adalah hasil daripada seminar-seminar rakyat yang diadakan sama ada yang dianjurkan oleh mahasiswa-mahasiswa dan persatuan-persatuan.

“Seminar-seminar ini memberi makna kepada masyarakat kerana menerusinya timbul idea-idea yang mana kemudiannya diangkat menjadi dasar negara,” kata beliau dalam ucapan penutupan majlis Muktamar Kebangsaan Amal Islami di sini, 12 Disember 2007 lalu.

“Seminar sebegini masih lagi releven bagi rakyat menyatakan hasrat dan keinginan terhadap sesuatu perkara dan dilihat sebagai wadah kepada masyarakat menyampaikan isu dan permasalahan mereka,” kata beliau.

Tambah beliau, suara rakyat perlu dijadikan pertimbangan kerana suatu perkara yang dilaksanakan yang tidak difahami oleh rakyat mampu mewujudkan krisis hubungan antara pemerintah dengan rakyat.

Justeru, kata beliau, YADIM akan meneruskan usaha mengadakan seminar-seminar seumpama ini agar dapat menyampaikan pandangan yang akhirnya akan mewujudkan keseimbangan dalam masyarakat.

Muktamar Kebangsaan Amal Islami adalah anjuran Majlis Amal Islami (MAIM), YADIM. Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), Ir. Dr. Muhammad Fuad Yeoh ketika membicarakan mengenai Peranan Badan Aamal Islam dalam mendepani Cabaran Globalisasi berkata, uslub dakwah Muslim kena berubah mengikut keadaan dan situasi semasa.

Menurutnya, dalam dakwah sesetengah dari kaedah dan prinsip tidak berubah tetapi suasana dan keadaan sasaran yang sentiasa berubah perlu diberi perhatian.

Oleh itu tambah beliau, ahli daie dan golongan pendakwah iaitu setiap Muslim bertanggungjawab memainkan peranan masing-masing terutama melalui badan-badan NGO Islam yang ada.

“Kita mesti bersatu, sepakat dan seiring sebagai satu saf (barisan) dalam melaksanakan tindakan, baru ummah kuat dan syair Islam dihormati serta kembali digeruni bukan diperalat dan diperlekehkan musuh,” ujarnya.